facebook, michat, telegram, Uncategorized, watsapp, youtube

Jeffery mengucapkan syabas & tahniah kepada Persatuan Klan liu pembetukan ahli baru

KENINGAU: 10 Disember 2023, Ahli Parlimen P.180 Keningau Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan mengucapkan syabas dan tahniah kepada Persatuan Klan Liu (Pang-Cheng) Pedalaman Sabah di atas pembentukan Ahli Jawatankuasa yang baharu hari ini.

Kitingan seterusnya menjadi saksi di Majlis Angkat Sumpah Ahli-ahli Jawatankuasa baharu yang mana Clement Liu telah dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Klan Liu Pedalaman Sabah yang baru.

“Saya sedia maklum bahawa Klan Liu ataupun asal usul Keluarga Liew mempunyai populasi ke-4 paling ramai di dunia,” ujarnya.

Klan Liu masing-masing mempunyai kemajuan dan kejayaan tersendiri dan merupakan salah sebuah persatuan komuniti yang sangat aktif menganjurkan pelbagai aktiviti khasnya di kalangan ahli-ahli mereka.

Sementara itu Pertandingan Nyanyian dalam Bahasa Mandarin memeriahkan lagi suasana malam itu kerana turut disajikan dengan hiburan nyanyian daripada para peserta.

Terlebih dahulu Pengerusi Clement Liu memberi ucapan terimakasih dan penghargaan kepada Timbalan Ketua Menteri kerana meluangkan masa untuk dapat bersama-sama dalam program tersebut.

facebook, michat, telegram, Uncategorized, watsapp, youtube

Peruntukan Pembangunan Tidak Sama hak PERLAMBAGAAN sabah hak hasil sabah tidak perlu dirunding kerana sudah dirunding semasa pembentukan Malaysia – Jeffery G kitingan

PERUNTUKAN PEMBANGUNAN TIDAK SAMA DENGAN HAK PERLEMBAGAAN SABAH
Hak hasil Sabah tidak perlu dirunding kerana sudah dirunding semasa pembentukan Malaysia – Kitingan

10 Disember 2023

KOTA KINABALU: Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyuarakan kebimbangan mengenai kelewatan kerajaan persekutuan dalam memenuhi Perjanjian Malaysia 1963, terutamanya berhubung pulangan 40% hasil daripada negeri Sabah.

Presiden STAR Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti USNO Tan Sri Pandikar Amin berkata bahawa pemimpin persekutuan gagal memahami hak negeri untuk kerajaan persekutuan mengembalikan 40% hasil daripada Sabah di bawah Perlembagaan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah menegaskan bahawa peruntukan pembangunan dan hak hasil berperlembagaan 40% bukan perkara yang sama.

“Mereka perlu membaca Perlembagaan, Perjanjian Malaysia 1963, Laporan IGC dan perlu tahu tentang tuntutan 20 Perkara, dan secara keseluruhannya, di manakah kita sekarang?” katanya dalam sidang media selepas melancarkan pelancaran GRS Jelajah Wanita Zon 2 di Sekolah Menengah Kian Kok hari ini.

“Hakikatnya 40 peratus (hak perolehan berperlembagaan) berbeza dengan peruntukan pembangunan.

“Malah dalam memperuntukkan bajet pembangunan, (kerajaan pusat) perlu melihat kepada tiga wilayah yang mana Sabah lebih besar daripada semenanjung Malaysia.

“Setiap tahun, apabila saya lihat bajet pembangunan, lebih 87 hingga 90 peratus peruntukan adalah untuk Semenanjung Malaysia, tetapi hanya kira-kira 12 hingga 13 peratus digabungkan untuk Sabah dan Sarawak.

“Mereka harus mengubah dasar itu kerana kita memerlukan lebih pembangunan berbanding Semenanjung Malaysia. Kita lebih berpotensi untuk dibangunkan berbanding Semananjung Malaysia yang hampir mencapai kemuncaknya.”

“Rakyat seharusnya tidak keliru perbezaan antara Peruntukan Pembangunan, peruntukan-peruntukan lain, dan Hak Hasil Berperlembagaan,” katanya.

Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat Sabah bersyukur kerana negeri itu menerima lebih banyak peruntukan pembangunan sebanyak RM6.6 bilion.

Kitingan berkata Putrajaya tidak boleh mencampur adukkan peruntukan pembangunan dengan hak perlembagaan ke atas hasil Sabah.

“Hak hasil adalah sangat asas dan sepatutnya tidak perlupun dirunding, kerana ia sudahpun dirunding semasa pembentukan Malaysia!” tegasnya.

“Perkara 11 dalam 20 Perkara, Para 24 dalam laporan IGC, dan di bawah artikel 112C dan 112D, dan schedule 10, ini adalah hak berperlembagaan dan langsung tidak ada keperluan perundingan.

“Sudah tentu, berapa banyak yang perlu dibayar, ia bergantung kepada dua perkara termasuk kedudukan kewangan kerajaan persekutuan dan keperluan kewangan negeri. Saat ini keperluan kewangan kerajaan negeri sangat-sangat kritikal!

“Infrastruktur kita sangat ketinggalan jauh, masalah air dan elektrik semakin menjadi-jadi.

“Bagaimana membangun potensi-potensi yang ada? Bagaimana membangun padi mendapatkan jentera kalau tidak ada wang?

“Kita tidak mengambil wang kerajaan persekutuan atau mana-mana negeri lain, ia adalah wang kita yang mereka kutip, mereka hanya perlu pulangkan berdasarkan formula.

“Formula sudah tersedia, tidak perlu mencipta formula lain kerana 40% telah mencatatkan apa yang harus dimasukkan.

Namun, kita terima bayaran interim sebanyak RM300 juta tetapi berharap dapat menyelesaikan isu hak 40% Sabah dalam masa setahun.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin berkata sepanjang tempoh 10 tahun beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat, terdapat penggubal undang-undang yang tidak tahu dan tidak faham mengenai dokumen dan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya penangguhan disebabkan ramai penggubal undang-undang tidak mengetahui butiran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Dengan hormat kepada sebahagian daripada mereka, mereka tidak tahu Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Suruhanjaya Cobbold, mahupun proses pembentukan Malaysia… sebab itu mereka tidak faham permintaan kita.

“Apabila kita membuat permintaan, sesetengah daripada mereka memandang kita dengan hairan. Jika mereka faham itu (dokumen dan proses), mereka akan menghormati pendapat kita.”

“Apakah yang sukar untuk mentafsir Perkara 112D, untuk memahami Jadual 10, untuk memahami 20 Perkara?

“Dalam perjalanan mencari fakta MA63, kami ke London. Saya terjumpa satu fail yang menyatakan pada masa itu, Sabah bertegas tidak berkompromi dalam isu cukai dan menegaskan hak itu adalah milik negeri,” tambahnya.

Terlebih dahulu Kitingan berkata Ketua Wanita GRS, Datuk Azizah Dun sangat berpengetahuan tentang perjuangan tersebut dan memperkasakan Wanita GRS dari peringkat akar umbi.

Azizah berkata, “Seperti dalam perjuangan kita selalu laungkan, rumah kita, kita jaga. Apakah maknanya? Mereka harus memahaminya dan ini dikatakan ‘empowerment’,”

Jelasnya lagi di peringkat kebangsaan penglibatan wanita dalam politik kurang daripada 15%, sementara itu Sabah mensasarkan untuk menaikkannya kepada 30%.

“Tetapi bukan itu sahaja yang kita lihat dalam perjuangan ini. Yang lebih penting adalah ‘Sabah First’, ‘rumah kita, kita jaga’ dan kita mahu orang Sabah menghayatinya tanpa mengira suku kaum, yang mana lebih daripada 30 etnik …Sayang Sabah. Sabah ini rumah kita, kita jaga, “ katanya.

facebook, michat, telegram, Uncategorized, watsapp, youtube

Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dapat direalisasikan dengan kerjasama rentas kaum, bangsa dan politik Jeffery G.Kitingan

Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dapat direalisasikan dengan kerjasama rentas kaum, bangsa dan politik – Kitingan

11 Disember 2023

KOTA KINABALU: Aspirasi SMJ adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan, dan Sabah berada di landasan yang tepat dalam memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Kitingan berharap supaya APPGM-SDG dapat meneruskan lebih banyak program-program penyelesaian di peringkat akar umbi dan menjadi agen perubahan kepada pembangunan wilayah Sabah.

“Pastinya ini semua hanya dapat direalisasikan dengan kerjasama dari semua pihak berkepentingan selaras aspirasi SDG ke 17, tidak kira latar belakang dan merentasi semua kaum, bangsa dan politik,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata demikian di Majlis Perasmian Penutup Program Pembangunan Kapasiti Rakan Kepada Solusi Wilayah Sabah 2023.

Beliau turut menyatakan sokongan penuhnya terhadap matlamat program tersebut, yang mana menyediakan program pembangunan kapasiti kepada rakan pelaksana dan Solusi untuk memastikan projek di akar umbi yang dilaksanakan membawa impak lebih besar dan mampan kepada komuniti dan golongan sasar.

Selaku Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Kitingan berkata beliau akan sentiasa memberi galakan dan sokongan kepada usaha berterusan APPGM-SDG.

“Sebagai ahli kerajaan negeri dan ahli parlimen, boleh dikatakan saya juga adalah sebahagian daripada APPGM-SDG,” ujarnya.

Jelasnya Malaysia komited kepada 17 matlamat yang merangkumi aspek kemanusiaan, kemakmuran, kebumian, keselamatan dan kerjasama, yang merupakan Matlamat Pembangunan Mampan yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada tahun 2015, dan perlu dicapai pada 2030 iaitu tempoh tinggal 7 tahun dari sekarang.

“Kumpulan bi-partisan APPGM-SDG telah diberikan mandat oleh Parlimen Malaysia untuk bekerjasama dengan semua ahli-ahli parlimen dan pihak berkepentingan agar aspirasi global ini dapat di lokalisasi di peringkat kawasan parlimen,” katanya.

Menurutnya setakat dari 200 hingga tahun 2023, sebanyak 97 projek Solusi di lebih 14 Kawasan Parlimen seluruh Sabah, dijalankan oleh lebih 54 Solusi yang terdiri daripada universiti awam antaranya UiTM dan UMS, bukan badan kerajaan, Koperasi, dan juga usahawan sosial.

Seperti yang dijalankan oleh NGO Pikos, Projek Solusi yang dijalankan merangkumi program penyelesaian isu air bersih, penjanaan pendapatan golongan B40, pemerkasaan wanita dan belia, kemahiran kepada golongan OKU, pendidikan kepada golongan terpinggir dan terpencil dan juga pembinaan pusat pembelajaran komuniti.

Sementara itu penghargaan seperti penganugerahan SDG Icon Leadership Award kepada Amran Jining, Dr Rizoh, Reef Check dan UCSF, dan beberapa rakan Solusi APPGM-SDG mendapat Anugerah Perdana Belia Negara menunjukkan usaha-usaha ini turut melahirkan pemimpin-pemimpin masa depan yang cemerlang kea rah kesejahteraan wilayah Sabah.

“We need more people like you for our country. Congratulations!” ujarnya.

Kitingan yang juga adalah ahli parlimen P.180 Keningau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Pengerusi APPGM-SDG yang juga ahli parlimen P.169 Kota Belud, Isnaraissah Munirah Bt Majilis @ Fakharudy yang bukan sahaja sentiasa membantu tetapi sentiasa berjuang di parlimen untuk hak-hak Sabah.

Terlebih dahulu Munirah berkata perkara utama yang membawa perkara maju ke hadapan dan lebih mampan (sustainable) ialah mengadakan lebih banyak kerjasama (collaboration) bukan sekadar dengan APPG-SDG sahaja tetapi juga dengan kementerian-kementerian yang berkaitan.

facebook, michat, telegram, Uncategorized, watsapp, youtube

Majlis Datuk-datuk Negeri Sabah (MDNS) organisasi kecil membantu masyarakat

Majlis Datuk-Datuk Negeri Sabah (MDNS) organisasi kecil membantu masyarakat

KOTA KINABALU: 8 Disember 2023, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan menghadiri Majlis Datuk-Datuk Negeri Sabah (MDNS) sempena hari jadi ke-70 Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Bin Datuk Haji Mahiruddin diiringi Yang di-Pertua Datuk Seri Panglima (Dr.) Hajah Norlidah binti Tan Sri Datuk R.M. Jasni di Grand Ballroom The Magellan Sutera Harbour Resort hari ini.

Terlebih dahulu Timbalan Ketua Menteri Sabah menjunjung kasih atas kesudian Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan berangkat hadir ke majlis itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri berkata walaupun Majlis Datuk-Datuk Negeri Sabah (MDNS) sebuah organisasi kecil, ia telah melaksanakan pelbagai aktiviti untuk membantu masyarakat termasuklah semasa keadaan mencabar sepanjang pandemic Covid-19.

“Usaha anda dalam mengangkat nasib mereka yang memerlukan adalah terpuji. Anda telah mendekati anak-anak yatim, belia dan warga emas, orang buta dalam masyarakat kita, belia yang menganggur, penduduk kampung dan masyarakat dengan menyumbangkan bantuan kewangan, makanan, perkhidmatan kesihatan, pakaian, kasut dan bahan di kawasan pedalaman dan juga dalam memberi peluang kepada golongan yang kurang bernasib baik untuk membantu mereka bergerak ke hadapan dalam kehidupan mereka. Dengan melaksanakan rancangan, MDNS telah benar-benar menunjukkan kuasa komitmen, dedikasi dan kerja berpasukan,” katanya.

Menurutnya, kejayaan MDNS tidak mungkin tercapai tanpa visi, komitmen dan kerja keras ahli-ahlinya.

“Saya memuji setiap orang atas usaha gigih dan dedikasi dalam membuat perubahan ke dalam kehidupan mereka yang memerlukan. Semangat dan daya tahan anda telah menjadikan anda antara banyak NGO yang telah bangkit untuk meletakkan asas bagi masyarakat yang lebih inklusif dan makmur,” katanya.

Jelasnya Kerajaan Negeri menghargai komitmen MDNS dan juga organisasi yang sehaluan dalam melengkapkan usahanya.

“Saya berharap usaha MDNS membuat perubahan akan terus memberi impak yang berkekalan ke atas masyarakat yang lebih luas. Impak positif yang anda bawa sudah tentu menjadi pelengkap kepada aspirasi Kerajaan untuk menambah baik dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di bawah aspirasi pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya kerajaan,” katanya.

Menurutnya MDNS sedang mewujudkan projek perintis pertanian organik di bawah Tanggungjawab Sosial Komuniti (CSR) untuk membantu penduduk di Kg Purak, Papar mempelajari dan memperoleh kemahiran dalam pertanian organik.

Ia bukan sahaja menjadi aset kepada mereka tetapi akhirnya akan membantu mereka menjana pendapatan dan sara diri.

facebook, michat, telegram, Uncategorized, watsapp, youtube

Empangan Hidroeletrik ulu padas bernilai 4 bilion dijangka siap pada tahun 2027

Empangan Hidroelektrik Ulu Padas bernilai 4 billion dijangka siap pada tahun 2027

TENOM: 7 Disember 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor menghadiri Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Kg Kungkular, Tenom hari ini.

Pengerusi Sabah Energy Corperation Datuk Anuar Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N.41 Liawan berkata Empangan Hidroelektrik bernilai RM4 bilion di Ulu Padas yang akan dibina dan dijangka siap pada 2027 itu merupakan salah satu penyelesaian jangka panjang mengatasi masalah kekurangan bekalan elektrik dan air.

Turut menyambut ketibaan Perdana Menteri Malaysia ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G Kitingan, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah merangkap ADUN N.40 Bingkor Datuk Robert Tawik, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Armizan Mohd Ali, Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, gamuda berhad, Pengarah Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn. Bhd., dan para pemimpin Sabah yang lain.

facebook, michat, telegram, Uncategorized, watsapp, youtube

Sabah mengalu-Alukan Pelabur Maju dan Berimpak tinggi- Jeffery kitingan

SABAH MENGALU-ALUKAN PELABUR MAJU DAN BERIMPAK TINGGI

5 Disember 2023

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah komited untuk mengalu-alukan lebih ramai pelabur berimpak tinggi dari China dan negara maju lain. Pelabur-pelabur ini penting untuk pertumbuhan ekonomi Sabah dan pembangunan mampan. Kita berdedikasi untuk menjadikan Sabah destinasi menarik untuk pelaburan. Fokus kita adalah untuk memudahkan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan memastikan pembangunan mampan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata demikian dalam ucapan rasmi semasa Forum Kerjasama One Belt One Road, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Terlebih dahulu Kitingan berkata Inisatif One Belt One Road (OBOR) China, yang juga dikenali sebagai New Silk Road (NSR) telah berubah sejak kewujudannya. Selain telah melaksanakan projek infrastruktur penting ia juga telah membawa manfaat ekonomi yang ketara di wilayah New Silk Road atau Jalan Sutera Baharu.

Ia telah memudahkan pertukaran idea, kepakaran dan kemahiran budaya, teknologi, komersial dan pendidikan. Kesan dan faedah daripada inisiatif OBOR adalah luas dan mengagumkan, menandakan satu peristiwa penting dalam pembangunan dan kerjasama global.

China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak 15 tahun lalu dan menurut MIDA pada 2022, jumlah dagangan telah melebihi RM930 bilion. Ini menjadikan peranan China penting, terutamanya melalui Belt and Road Inisiatives (BRI). Inisiatif sedemikian adalah kunci untuk membantu Malaysia mencapai wawasan kemakmuran bersama menjelang 2030.

“Oleh yang demikian, sukacitanya saya akui kepentingan FORUM KERJASAMA ONE BELT ONE ROAD ATAU JALAN SUTERA BARU BERKUALITI TINGGI ini diadakan tepat pada masanya. Tumpuannya ialah untuk menggalakkan penglibatan Sabah dalam membina bersama dan menyumbang kepada pembangunan komuniti China-Malaysia yang berkongsi nasib adalah terpuji dan penting,” katanya.

Jelasnya lokasi Sabah yang strategik di sepanjang laluan Laluan Sutera (Silk Road) Maritim China menawarkan pelbagai kelebihan, termasuk sumber semula jadi yang kaya, iklim yang menggalakkan, dan kemahiran berbilang bahasa rakyatnya.

Menurutnya faktor-faktor itu menjadikan Sabah mempunyai kedudukan yang unik untuk berintegrasi dengan negara-negara yang mempunyai pelbagai latar belakang bahasa, budaya dan adat.

Katanya kemahiran memanfaatkan kelebihan itu memungkinkan Sabah bersedia untuk menjadi hab logistik yang penting dan pemain utama dalam laluan China Maritime Silk Road.

“Ini akan menyumbang kepada pertumbuhan kedua-dua ASEAN dan rantau BIMP-EAGA,” ujarnya.

Tambahnya lagi peluang yang dibentangkan di forum Third Belt and Road untuk International Cooperation, di Beijing pada 18 Oktober 2023 yang lalu, menandakan ulang tahun ke-10 BRI, menawarkan potensi besar untuk pembangunan masa depan Sabah.

Menurutnya lagi Sabah diperkayakan dengan pelbagai sumber di darat, laut dan udara. Sektor Pertanian, Perikanan, Industri Makanan, tenaga suria dan hijau, Minyak & Gas, Pelancongan, Sosial, Pendidikan dan Kebudayaan memberikan peluang pelaburan yang menarik.

“Sektor-sektor ini amat menarik minat pelabur China yang terkenal dengan teknologi, kepakaran dan sumber termaju mereka,” katanya.

Sementara itu di Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan terdapat peluang pelaburan besar terutamanya dalam penanaman padi dan penternakan khinzir.

“Kita memberi tumpuan untuk mencapai sara diri dan meningkatkan keterjaminan makanan. Kementerian mengalu-alukan pelabur berimpak tinggi dengan teknologi dan sumber proprietri,” katanya.

Sehubungan dengan itu Kerajaan Sabah komited untuk memudahkan dan menyokong pelabur berimpak tinggi. Kita sasarkan untuk menggerakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), yang membentuk lebih 95% daripada pertubuhan perniagaan Sabah. Ini termasuk melibatkan diri dengan graduan baru, belia, pekebun kecil, petani, dan usahawan.

“Matlamat kita adalah untuk bekerjasama dengan pelabur ini dalam mewujudkan komuniti China-Sabah yang berkongsi nasib. Ini sejajar dengan perkembangan dan peluang terkini di bawah Belt and Road Inisiatives (BRI). Usaha kerjasama kita tertumpu kepada mewujudkan peluang pekerjaan dan memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan di negeri ini,” katanya.

Katanya pembukaan kemudahan Sabah Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd telah diraikan pada 31 Oktober 2023.

Katanya baru-baru ini Sabah Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd iaitu pelaburan penting berbilion ringgit oleh China Kibing Group yang terletak di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) telah dibuka secara rasmi pada 31 Oktober 2023.

Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 440,000 tan kaca solar setahun menjadikan ia pemain utama dalam industri kaca solar Malaysia, dan juga penyumbang utama sektor tenaga boleh diperbaharui, serta mewujudkan 1,300 pekerjaan yang mana 80% daripadanya terdiri daripada penduduk Sabah.

“Perkembangan ini adalah bukti teknologi canggih China, bukan sahaja dalam pembuatan tetapi juga dalam bangunan dan infrastruktur. Banyak bangunan tinggi moden dan hijau di Sabah, termasuk Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), bangunan tertinggi di Pulau Borneo, Menara Berkembar Jesselton 56 tingkat, dan Coral Bay, sebuah kondominium mewah 460 unit dalam Sutera Harbour Resort, dibina menggunakan kemahiran, teknologi dan kepakaran syarikat pembinaan China. Projek-projek ini menyerlahkan sumbangan penting China kepada landskap seni bina Sabah,” katanya.

Menurutnya dengan pelancaran rasmi pelaubuhan laut dalam Palm Oil Cluster Industrial (POIC) di Lahad Datu, keupayaan pengendalian kargo Sabah telah berkembang dan tidak lagi hanya bergantung kepada pelabuhan Sepangar, Kota Kinabalu.

“Ini merupakan perkembangan penting, kerana POIC telah menjalin perkongsian strategik dengan Kumpulan Pembangunan Luar Negara Pelabuhan Shandong China. Kerjasama ini menghubungkan taman perindustrian Sabah kepada 313 laluan perkapalan di seluruh dunia, termasuk 173 laluan antarabangsa dan 113 laluan serantau,” katanya.

Kitingan menjelaskan bahawa Sabah harus memanfaatkan peluang untuk meningkatkan perdagangan dan menarik lebih banyak talian perkapalan dengan memanfaatkan Silk Road Maratime dari China dan negara-negara ASEAN melalui Selat Lombok-Makassar yang dalam.

“Untuk mencapai matlamat ini, kita merancang untuk melaksanakan dasar perkapalan yang menarik dan mesra perniagaan. Inisiatif ini akan mengoptimumkan keupayaan baharu kita dan memanfaatkan lokasi strategik kita,” katanya.

Kitingan berharap khadiran pakar dan cendikiawan BRI yang terbilang dari China, Singapura, Malaysia dan negara-negara lain akan memperkayakan Forum dengan mengemukakan idea-idea yang jelas dan cemerlang, sekaligus mencari pendekatan praktikal, cadangan membina yang boleh diambil tindakan.

“Kita berhasrat untuk menggunakan pengetahuan ini untuk meningkatkan peranan Sabah dalam membina bersama komuniti yang berkongsi nasib dengan China dan Malaysia. Kerjasama ini adalah kunci kepada pembangunan dan kemakmuran bersama,” ujarnya.

Beliau akhiri dengan ucapan terima kasih kepada Persatuan Penyelidikan Laluan Sutera Maritim Malaysia dan Persatuan Penyelidikan & Kemajuan Laluan Sutera Maritim Sabah kerana mengambil inisiatif untuk menganjurkan Forum tersebut tepat pada masanya untuk komuniti perniagaan berbahasa Inggeris, GLC dan penjawat Awam untuk kesedaran dan pemahaman yang lebih baik tentang tawaran BRI dan peluang-peluang untuk Sabah.

facebook, michat, telegram, Uncategorized, watsapp, youtube

Inovasi Sistem Air Graviti kepada masyarakat luar bandar terpencil – Jeffery G.Kitingan

Inovasi Sistem Air Graviti Bersih Berteknologi Hijau merevolusikan pembekalan air bersih kepada masyarakat luar bandar yang terpencil.

2 Disember 2023

TAMBUNAN: Isu bekalan air bersih di kawasan pedalaman Sabah mendorong seorang anak jati tempatan daripada Tambunan, Joe Primus Kayau hadir dengan idea inovasi teknologi hijau sistem penapis air graviti yang mampu menghasilkan air bersih sehingga 200,000 liter sehari.

Menurut Joe, potensi idea yang pada asalnya hanya digunakan untuk menyelesaikan masalah air di kampung beliau itu mendapat perhatian Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim dan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) Malaysia sehingga membawa kepada pelaksanaan Projek Komuniti Air Graviti Bersih di beberapa kawasan luar bandar yang terpencil di Sabah.

“Saya sangat berbesar hati kerana dapat berada di sini untuk mempersembahkan kecemerlangan hasil inovasi anak tempatan Sabah dan penyelidikan yang telah dilakukan oleh pasukan pakar dari Universiti Malaysia Sabah.”

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan dan juga ADUN N.39 Tambunan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata demikian dalam Majlis Perasmian Sistem Air Graviti Bersih Berteknologi Hijau di Kampung Sintuong-Tuong, Tambunan hari ini.

Beliau berkata dengan teknologi canggih tersebut ribuan orang dalam komuniti luar bandar bakal mendapat bekalan air bersih yang berkualiti.

Menurutnya salah satu keunikan sistem itu ialah kemampuannya untuk mendapatkan air bersih daripada sumber semula jadi dengan menjaga keaslian dan keutuhan saliran alam semulajadi.

Jelasnya elemen-elemen teknologi tinggi yang digunakan dalam sistem menjadikannya berupaya menghasilkan air yang bersih dan bebas daripada pencemaran berdasarkan piawai yang ditetapkan.

“Dengan perasmian sistem air graviti bersih berteknologi tinggi ini, kami berharap agar masyarakat dapat menikmati manfaat yang segera dan berterusan daripada kemajuan teknologi.

“Sistem ini tidak hanya memberikan kelebihan kepada masyarakat, malah ia turut memberikan impak positif terhadap alam sekitar dengan mengurangkan pengekstrakan sumber air semula jadi yang tidak berkesudahan,” katanya.

Kitingan akhiri dengan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah, Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim kerana telah mencadang projek ini dilaksanakan di Tambunan dan semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan tersebut.

Beliau yakin dengan sistem air graviti bersih berteknologi hijau itu akan menjadi penyelesaian yang berkesan kepada masalah penyediaan air bersih dan keperluan asas masyarakat luar bandar.

Sementara itu Ir Joe Primus Kayau semasa sidang media berkata pelaksanaan pembinaan Air Graviti Bersih Berteknologi Hijau telah dimulakan pada bulan September lalu dan siap pada penghujung bulan November baru-baru ini.

“Kos keseluruhan pembinaan di bawah 500 ribu ini telah memberi menfaat air bersih berteknologi hijau kepada lebih empat puluh rumah masyarakat Kampung Sintuong-Tuong,” katanya.

Prof Madia Dr Gaim James Lunkapis daripada Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah berkata mereka berkolaborasi dengan ‘business partner’ Pembinaan Kiawayan Sdn Bhd khususnya untuk menyelesaikan bekalan air di luar bandar.

Menurutnya inovasi bekalan air graviti bersih itu berteknologi hijau atau tidak memerlukan bekalan elektrik, dan ia tidak menggunakan peralatan yang canggih bermakna boleh dikendalikan oleh orang kampung.

Teknologi tersebut terdiri daripada teknologi muka suap (intake) yang mana telahpun dipatenkan, seterusnya melalui 3 peringkat penapisan dan pengumpulan air dalam tangki simpanan sebelum disalurkan kepada penerima manfaat iaitu komuniti kampung.

Menurutnya lagi projek pertama di Kampung Rungus Nahaba yang berstatus penyelidikan telah dibiayai oleh MOSTI.

Jelasnya di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Malaysia terdapat 6 buah kampung telah diberi manfaat dan 3 lagi bakal siap tahun ini dan akan memberi khidmat kepada penduduk kampung.

Enam kampung tersebut ialah Kampung Koliposuan, Tamparuli; Kampung Bukit Mengidam, Telupid; Kampung Tukalilan dan Kampung Langsat, Tenom; Kampung Tudan, Kiulu; dan Kampung Sintuong-tuong, Tambunan.

Turut bersama Pegawai Daerah Tambunan, Sabitun Makajil; Pakar Sosio Ekonomi UMS, Prof Dr Gaim James Lunkapis; wakil Pengarah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Sabah, Rosman Bin Okasa; dan Setiausaha Perhubungan Awam Menteri Pembangunan Luar Dan Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim, Tuan Romeo Sindeh.

By David Ebin

facebook, michat, telegram, Uncategorized, watsapp, youtube

Pengambilalihan PENGURUSAN SAIP

PENGAMBILALIHAN PENGURUSAN SAIP BERTUJUAN MENTANSFORMASIKAN HALA TUJU SAIP KEPADA SEBUAH ENTITI YANG KOMERSIAL

1 Disember 2023

KOTA KINABALU: Pengalihan Pengurusan Sabah Agro-Industrial Precinct (SAIP) merupakan perancangan Kerajaan Negeri dalam mentransformasikan hala tuju SAIP kepada menjadi sebuah entiti yang komersial.

Majlis Menandatangani Perjanjian-Perjanjian di antara pihak SEDIA, IDS Sabah dan SEDCO, dan CAIQ Biosecurity Sdn Bhd telah berlangsung dengan jayanya di Kimanis Ballroom, Hyatt Regency, Kota Kinabalu hari ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat khususnya SEDIA, IDS dan SEDCO dalam usaha memastikan pengambilalihan Pengurusan SAIP dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Dalam ucapannya yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Panglima Dr Jeffry G. Kitingan, beliau menjelaskan bahawa usaha pengambilalihan Pengurusan SAIP adalah merupakan perancangan Kerajaan Negeri yang bertujuan mentransformasikan hala tuju SAIP untuk menjadi sebuah entiti yang komersial.

Dengan ini Kerajaan Negeri kini sudah memasuki fasa peralihan pengurusan kepada agensi yang dapat memainkan peranan untuk mengkomersialkan SAIP.

“Di samping itu, saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada SEDCO serta Pengurusan SEDCO kerana menerima sahutan Kerajaan Negeri untuk mengambil dan meletakkan SAIP di bawah SEDCO meskipun industri agro bukan salah satu sektor perniagaan utama SEDCO,” katanya.

Menurutnya SEDCO sudah berada di persada ekonomi negeri sejak tahun 1971 dan kini sudah memainkan peranan dalam sektor-sektor pembuatan, perkhidmatan, perdagangan dan pembangunan sosio ekonomi dalam masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera.

“Malahan SEDCO adalah perintis yang terlah mengevolusikan ekonomi daerah-daerah kecil dan terpencil dengan pembinaan rumah-rumah kedai serta lot-lot komersial mampu milik,” katanya

Peralihan SAIP ke bawah SEDCO menjadikan agrotani sebagai perniagaan portfolio baharunya yang tetap akan menjadi perniagaan yang mampan dan berdaya maju kerana SEDCO telah banyak membantu Kerajaan memacu ekonomi negeri ke tahap yang membanggakan.

“Dengan termeterainya perjanjian ini, maka SEDCO akan dapat bergerak ke hadapan dan memastikan SAIP ditransformasi menjadi sebuah entiti komersial yang mandiri dan mampan. Ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang komited untuk menjadikan SAIP sebagai salah satu lagi pemacu ekonomi di negeri ini,” katanya.

Selain itu Ketua Menteri berkata pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang memasuki tahun kedua dalam pelaksanaannya, pada tahun ini sudah mula membuahkan hasil.

“Ekonomi negeri telah mencatatkan pertumbuhan positif pada kadar 1.1 peratus pada tahun 2021 berbanding dengan penguncupan 9.2 peratus pada tahun 2020.

“Ini mencerminkan bahawa Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ telah berupaya untuk mendorong negeri Sabah meningkatkan momentum pertumbuhan positif pada kadar yang lebih baik,” katanya.

Tambahnya lagi dalam sektor Pertanian, pelan ini memberikan tumpuan kepada pelaksanaan Program Komoditi Tanaman pada tahun ini, dengan memberi tumpuan kepada penanaman buah-buahan, sayur-sayuran, tanaman singkat masa seperti jagung manis, halia dan keladi serta tanaman industri, khususnya kopi dan kelapa.

Menurutnya program tersebut bertujuan mengukuhkan jaminan bekalan makanan dengan aktiviti pertanian menggunakan teknologi terkini bagi mengeluarkan hasil tanaman yang tinggi dan berkualiti.

Fokus program yang dimaksudkan termasuklah meningkatkan pengeluaran hasil pertanian berkualiti dalam tempoh yang singkat dan tahan daripada serangan penyakit melalui program penyelidikan dan pembangunan (R&D) berinovasi tinggi.

Jelasnya melalui program itu, peniaga agrotani tempatan dapat menjadikan pertanian sebagai punca pendapatan tinggi dan secara tidak langsung Kerajaan telah dapat membantu mengeluarkan rakyat Sabah dari kepompong kemiskinan.

“Maka adalah diharapkan dengan menggalas tanggunjawab yang baharu dalam sektor agro, SEDCO dapat membantu menjadi pemangkin dalam meningkatkan bekalan makanan di sabah.

“Ini sejajar dengan usaha kerajaan negeri dalam Belanjawan negeri 2024, untuk terus meningkatkan hasil dan kualiti produk pertanian untuk memastikan tahap sara diri atau self-sufficiency level (SSL) semua bekalan bahan makanan terus meningkat,” katanya.

Menurutnya lagi dengan fasiliti di SAIP, SEDCO boleh memberikan tumpuan terhadap menghasilkan produk-produk farmaseutikal melalui R&D menggunakan tanaman herba tempatan serta penghasilan produk makanan kesihatan.

Jelasnya kedua-dua produk tersebut akan dapat membantu dalam meningkatkan skala bisnes para peniaga di Sabah bukan sahaja bagi pasaran tempatan, tetapi juga untuk pasaran antarabangsa.

“Saya mahu Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) yang memainkan peranan besar dalam menangani bekalan dan keselamatan makanan negeri Sabah, supaya dapat menjalinkan kerjasama yang jitu dan utuh dengan kementerian-kementerian dan agensi lain untuk menghebatkan lagi hasil dan kepelbagaian pemakanan melalui agrotani, “ katanya.

Hajiji akhiri dengan ucapan tahniah kepada SEDIA, IDS, SEDCO dan CAIQ, semoga usaha itu akan terus berjaya dalam memperkasa ekonomi dan kesejahteraan Sabah dan rakyatnya.

Copypaste

facebook, michat, telegram, Uncategorized, watsapp, youtube

Cadangan Pindaan Kewarganegaraan: “STAR” risau beri kesan kepada orang asal- Kenny Chua

Cadangan Pindaan Kewarganegaraan: STAR risau beri kesan kepada Orang Asal

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanahairku (STAR) Sabah menyatakan kerisauan kesan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan kepada penduduk Orang Asal di Sabah dan Sarawak.

Menurut Naib Presiden parti tersebut Datuk Kenny Chua (gambar) ini adalah kerana masih terdapat penduduk Orang Asal di kedua negeri Borneo itu yang masih lagi tidak mempunyai status kewarganegaraan atau memegang MyPR dan bukan MKenny Chua yKad.

“Saya menggesa Kerajaan Persekutuan melihat isu ini secara terperinci dan berhati-hati kerana ini akan memberi kesan kepada mereka.

“Bagi saya, penduduk ini adalah rakyat Sabah yang lahir di Sabah. Hanya mereka tidak mendapat akses kepada dokumen peribadi ketika itu kerana mereka dilahirkan dan ramai yang masih tinggal jauh di pendalaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Hal ini dibangkitkan oleh Sabah and Sarawak Chapters of SCO Platform for Reform yang mengatakan bahawa kerajaan Madani sepatutnya menyediakan statistik yang tepat, telus dan mempunyai akauntabiliti sebelum mengeluarkan naratif tersebut kepada umum.

“Ini sepatutnya dilakukan kerana bagaimanakah kita boleh mencadangkan pindaan tanpa pengetahuan yang menyeluruh tentang isu dan situasi penduduk yang tidak berkewarganegaraan khasnya di Sabah.

“Kita perlu lihat data terlebih dahulu, dan itupun kalau ada,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada awal bulan berkata cadangan pindaan undang-undang Malaysia berkaitan kewarganegaraan akan menutup laluan kepada kanak-kanak tanpa kewarganegaraan untuk mendapatkan status kewarganegaraan.

Walaubagaimanapun, katanya mereka masih mempunyai saluran undang-undang untuk berurusan berkenaan hal tersebut.

“Saya tidak dapat bayangkan betapa sakit dan susahnya bagi keluarga Orang Asal yang dianggap tidak mempunyai kewarganegaraan jika candagan pindaan tersebut diluluskan,” kata Chua.

Sehubungan dengan ini, dia mencadangkan agar Sabah dan Sarawak diberikan penuh kebebasan dan kawalan dalam hal berkaitan pendaftaran kewarganegaraan.

“Lagi pun, kita tinggal di kepulauan Borneo dan dipisahkan dengan Malaya oleh Laut China Selatan.

Oleh yang demikian, adalah praktikal jika kuasa ini diturunkan kepada negeri kita karana kita lah yang faham situasi kita.

“Inilah naratif kita selama ini,” katanya.

Menurutnya, Sabah pernah mempunyai kad pengenalannya sendiri hingga 1 Jun 1972 apabila Ordinan Pendaftaran Nasional 1962 Sabah mansuhkan dan Akta Pendaftaran Nasional 1959 pula dipanjangkan ke negeri ini.