
KRISMAS BERMAKNA KASIH DAN KEBAIKAN UNTUK SEMUA – KITINGAN

12 Disember 2023
KOTA KINABALU: Sambil kita merayakan perayaan ini, janganlah kita lupa akan makna sebenar Krismas, yang bermakna kasih, belas kasihan, dan kebaikan kepada semua.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata demikian dalam ucaprasmi Perayaan Krismas Kota Kinabalu di Padang Merdeka, hari ini.




“Tema perayaan Krismas bagi Tahun ini “Krismas: Perpaduan Dan Harmoni”, adalah satu refleksi nilai-nilai yang harus kita pegang teguh dalam musim perayaan ini.
“Kita semua adalah satu komuniti, dan kita harus berusaha untuk mempromosikan perdamaian, kasih sayang, dan persefahaman dalam masyarakat Kita.
Tambahnya lagi setiap orang merupakan sebahagian daripada komuniti yang lebih besar.




“Bersama-sama, kita boleh memberikan impak positif dan membawa perubahan yang baik dalam masyarakat kita,” katanya.
Kitingan menggesa supaya menggunakan peluang yang ada untuk menyebarkan kasih, kebaikan dan perpaduan, bukan hanya semasa musim perayaan itu, tetapi setiap masa.

Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Brigadier Jeneral Datuk Al Hambra Tun Juhar dan Datin Scarlett Suhaili Saminding Binti Abdullah, Presiden Majlis Gereja-gereja Sabah Archbishop Datuk Melter Jiki Tais, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Junainah Abbie Dan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communication Sdn Bhd. Wing K Lee.