facebook, michat, telegram, Uncategorized, watsapp, youtube

Peruntukan Pembangunan Tidak Sama hak PERLAMBAGAAN sabah hak hasil sabah tidak perlu dirunding kerana sudah dirunding semasa pembentukan Malaysia – Jeffery G kitingan

PERUNTUKAN PEMBANGUNAN TIDAK SAMA DENGAN HAK PERLEMBAGAAN SABAH
Hak hasil Sabah tidak perlu dirunding kerana sudah dirunding semasa pembentukan Malaysia – Kitingan

10 Disember 2023

KOTA KINABALU: Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyuarakan kebimbangan mengenai kelewatan kerajaan persekutuan dalam memenuhi Perjanjian Malaysia 1963, terutamanya berhubung pulangan 40% hasil daripada negeri Sabah.

Presiden STAR Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti USNO Tan Sri Pandikar Amin berkata bahawa pemimpin persekutuan gagal memahami hak negeri untuk kerajaan persekutuan mengembalikan 40% hasil daripada Sabah di bawah Perlembagaan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah menegaskan bahawa peruntukan pembangunan dan hak hasil berperlembagaan 40% bukan perkara yang sama.

“Mereka perlu membaca Perlembagaan, Perjanjian Malaysia 1963, Laporan IGC dan perlu tahu tentang tuntutan 20 Perkara, dan secara keseluruhannya, di manakah kita sekarang?” katanya dalam sidang media selepas melancarkan pelancaran GRS Jelajah Wanita Zon 2 di Sekolah Menengah Kian Kok hari ini.

“Hakikatnya 40 peratus (hak perolehan berperlembagaan) berbeza dengan peruntukan pembangunan.

“Malah dalam memperuntukkan bajet pembangunan, (kerajaan pusat) perlu melihat kepada tiga wilayah yang mana Sabah lebih besar daripada semenanjung Malaysia.

“Setiap tahun, apabila saya lihat bajet pembangunan, lebih 87 hingga 90 peratus peruntukan adalah untuk Semenanjung Malaysia, tetapi hanya kira-kira 12 hingga 13 peratus digabungkan untuk Sabah dan Sarawak.

“Mereka harus mengubah dasar itu kerana kita memerlukan lebih pembangunan berbanding Semenanjung Malaysia. Kita lebih berpotensi untuk dibangunkan berbanding Semananjung Malaysia yang hampir mencapai kemuncaknya.”

“Rakyat seharusnya tidak keliru perbezaan antara Peruntukan Pembangunan, peruntukan-peruntukan lain, dan Hak Hasil Berperlembagaan,” katanya.

Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat Sabah bersyukur kerana negeri itu menerima lebih banyak peruntukan pembangunan sebanyak RM6.6 bilion.

Kitingan berkata Putrajaya tidak boleh mencampur adukkan peruntukan pembangunan dengan hak perlembagaan ke atas hasil Sabah.

“Hak hasil adalah sangat asas dan sepatutnya tidak perlupun dirunding, kerana ia sudahpun dirunding semasa pembentukan Malaysia!” tegasnya.

“Perkara 11 dalam 20 Perkara, Para 24 dalam laporan IGC, dan di bawah artikel 112C dan 112D, dan schedule 10, ini adalah hak berperlembagaan dan langsung tidak ada keperluan perundingan.

“Sudah tentu, berapa banyak yang perlu dibayar, ia bergantung kepada dua perkara termasuk kedudukan kewangan kerajaan persekutuan dan keperluan kewangan negeri. Saat ini keperluan kewangan kerajaan negeri sangat-sangat kritikal!

“Infrastruktur kita sangat ketinggalan jauh, masalah air dan elektrik semakin menjadi-jadi.

“Bagaimana membangun potensi-potensi yang ada? Bagaimana membangun padi mendapatkan jentera kalau tidak ada wang?

“Kita tidak mengambil wang kerajaan persekutuan atau mana-mana negeri lain, ia adalah wang kita yang mereka kutip, mereka hanya perlu pulangkan berdasarkan formula.

“Formula sudah tersedia, tidak perlu mencipta formula lain kerana 40% telah mencatatkan apa yang harus dimasukkan.

Namun, kita terima bayaran interim sebanyak RM300 juta tetapi berharap dapat menyelesaikan isu hak 40% Sabah dalam masa setahun.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin berkata sepanjang tempoh 10 tahun beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat, terdapat penggubal undang-undang yang tidak tahu dan tidak faham mengenai dokumen dan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya penangguhan disebabkan ramai penggubal undang-undang tidak mengetahui butiran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Dengan hormat kepada sebahagian daripada mereka, mereka tidak tahu Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Suruhanjaya Cobbold, mahupun proses pembentukan Malaysia… sebab itu mereka tidak faham permintaan kita.

“Apabila kita membuat permintaan, sesetengah daripada mereka memandang kita dengan hairan. Jika mereka faham itu (dokumen dan proses), mereka akan menghormati pendapat kita.”

“Apakah yang sukar untuk mentafsir Perkara 112D, untuk memahami Jadual 10, untuk memahami 20 Perkara?

“Dalam perjalanan mencari fakta MA63, kami ke London. Saya terjumpa satu fail yang menyatakan pada masa itu, Sabah bertegas tidak berkompromi dalam isu cukai dan menegaskan hak itu adalah milik negeri,” tambahnya.

Terlebih dahulu Kitingan berkata Ketua Wanita GRS, Datuk Azizah Dun sangat berpengetahuan tentang perjuangan tersebut dan memperkasakan Wanita GRS dari peringkat akar umbi.

Azizah berkata, “Seperti dalam perjuangan kita selalu laungkan, rumah kita, kita jaga. Apakah maknanya? Mereka harus memahaminya dan ini dikatakan ‘empowerment’,”

Jelasnya lagi di peringkat kebangsaan penglibatan wanita dalam politik kurang daripada 15%, sementara itu Sabah mensasarkan untuk menaikkannya kepada 30%.

“Tetapi bukan itu sahaja yang kita lihat dalam perjuangan ini. Yang lebih penting adalah ‘Sabah First’, ‘rumah kita, kita jaga’ dan kita mahu orang Sabah menghayatinya tanpa mengira suku kaum, yang mana lebih daripada 30 etnik …Sayang Sabah. Sabah ini rumah kita, kita jaga, “ katanya.

Leave a comment