
Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dapat direalisasikan dengan kerjasama rentas kaum, bangsa dan politik – Kitingan
11 Disember 2023
KOTA KINABALU: Aspirasi SMJ adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan, dan Sabah berada di landasan yang tepat dalam memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Kitingan berharap supaya APPGM-SDG dapat meneruskan lebih banyak program-program penyelesaian di peringkat akar umbi dan menjadi agen perubahan kepada pembangunan wilayah Sabah.
“Pastinya ini semua hanya dapat direalisasikan dengan kerjasama dari semua pihak berkepentingan selaras aspirasi SDG ke 17, tidak kira latar belakang dan merentasi semua kaum, bangsa dan politik,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata demikian di Majlis Perasmian Penutup Program Pembangunan Kapasiti Rakan Kepada Solusi Wilayah Sabah 2023.
Beliau turut menyatakan sokongan penuhnya terhadap matlamat program tersebut, yang mana menyediakan program pembangunan kapasiti kepada rakan pelaksana dan Solusi untuk memastikan projek di akar umbi yang dilaksanakan membawa impak lebih besar dan mampan kepada komuniti dan golongan sasar.
Selaku Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Kitingan berkata beliau akan sentiasa memberi galakan dan sokongan kepada usaha berterusan APPGM-SDG.
“Sebagai ahli kerajaan negeri dan ahli parlimen, boleh dikatakan saya juga adalah sebahagian daripada APPGM-SDG,” ujarnya.


Jelasnya Malaysia komited kepada 17 matlamat yang merangkumi aspek kemanusiaan, kemakmuran, kebumian, keselamatan dan kerjasama, yang merupakan Matlamat Pembangunan Mampan yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada tahun 2015, dan perlu dicapai pada 2030 iaitu tempoh tinggal 7 tahun dari sekarang.
“Kumpulan bi-partisan APPGM-SDG telah diberikan mandat oleh Parlimen Malaysia untuk bekerjasama dengan semua ahli-ahli parlimen dan pihak berkepentingan agar aspirasi global ini dapat di lokalisasi di peringkat kawasan parlimen,” katanya.
Menurutnya setakat dari 200 hingga tahun 2023, sebanyak 97 projek Solusi di lebih 14 Kawasan Parlimen seluruh Sabah, dijalankan oleh lebih 54 Solusi yang terdiri daripada universiti awam antaranya UiTM dan UMS, bukan badan kerajaan, Koperasi, dan juga usahawan sosial.
Seperti yang dijalankan oleh NGO Pikos, Projek Solusi yang dijalankan merangkumi program penyelesaian isu air bersih, penjanaan pendapatan golongan B40, pemerkasaan wanita dan belia, kemahiran kepada golongan OKU, pendidikan kepada golongan terpinggir dan terpencil dan juga pembinaan pusat pembelajaran komuniti.
Sementara itu penghargaan seperti penganugerahan SDG Icon Leadership Award kepada Amran Jining, Dr Rizoh, Reef Check dan UCSF, dan beberapa rakan Solusi APPGM-SDG mendapat Anugerah Perdana Belia Negara menunjukkan usaha-usaha ini turut melahirkan pemimpin-pemimpin masa depan yang cemerlang kea rah kesejahteraan wilayah Sabah.

“We need more people like you for our country. Congratulations!” ujarnya.
Kitingan yang juga adalah ahli parlimen P.180 Keningau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Pengerusi APPGM-SDG yang juga ahli parlimen P.169 Kota Belud, Isnaraissah Munirah Bt Majilis @ Fakharudy yang bukan sahaja sentiasa membantu tetapi sentiasa berjuang di parlimen untuk hak-hak Sabah.
Terlebih dahulu Munirah berkata perkara utama yang membawa perkara maju ke hadapan dan lebih mampan (sustainable) ialah mengadakan lebih banyak kerjasama (collaboration) bukan sekadar dengan APPG-SDG sahaja tetapi juga dengan kementerian-kementerian yang berkaitan.