facebook, michat, telegram, Uncategorized, watsapp, youtube

Inovasi Sistem Air Graviti kepada masyarakat luar bandar terpencil – Jeffery G.Kitingan

Inovasi Sistem Air Graviti Bersih Berteknologi Hijau merevolusikan pembekalan air bersih kepada masyarakat luar bandar yang terpencil.

2 Disember 2023

TAMBUNAN: Isu bekalan air bersih di kawasan pedalaman Sabah mendorong seorang anak jati tempatan daripada Tambunan, Joe Primus Kayau hadir dengan idea inovasi teknologi hijau sistem penapis air graviti yang mampu menghasilkan air bersih sehingga 200,000 liter sehari.

Menurut Joe, potensi idea yang pada asalnya hanya digunakan untuk menyelesaikan masalah air di kampung beliau itu mendapat perhatian Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim dan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) Malaysia sehingga membawa kepada pelaksanaan Projek Komuniti Air Graviti Bersih di beberapa kawasan luar bandar yang terpencil di Sabah.

“Saya sangat berbesar hati kerana dapat berada di sini untuk mempersembahkan kecemerlangan hasil inovasi anak tempatan Sabah dan penyelidikan yang telah dilakukan oleh pasukan pakar dari Universiti Malaysia Sabah.”

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan dan juga ADUN N.39 Tambunan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata demikian dalam Majlis Perasmian Sistem Air Graviti Bersih Berteknologi Hijau di Kampung Sintuong-Tuong, Tambunan hari ini.

Beliau berkata dengan teknologi canggih tersebut ribuan orang dalam komuniti luar bandar bakal mendapat bekalan air bersih yang berkualiti.

Menurutnya salah satu keunikan sistem itu ialah kemampuannya untuk mendapatkan air bersih daripada sumber semula jadi dengan menjaga keaslian dan keutuhan saliran alam semulajadi.

Jelasnya elemen-elemen teknologi tinggi yang digunakan dalam sistem menjadikannya berupaya menghasilkan air yang bersih dan bebas daripada pencemaran berdasarkan piawai yang ditetapkan.

“Dengan perasmian sistem air graviti bersih berteknologi tinggi ini, kami berharap agar masyarakat dapat menikmati manfaat yang segera dan berterusan daripada kemajuan teknologi.

“Sistem ini tidak hanya memberikan kelebihan kepada masyarakat, malah ia turut memberikan impak positif terhadap alam sekitar dengan mengurangkan pengekstrakan sumber air semula jadi yang tidak berkesudahan,” katanya.

Kitingan akhiri dengan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah, Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim kerana telah mencadang projek ini dilaksanakan di Tambunan dan semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan tersebut.

Beliau yakin dengan sistem air graviti bersih berteknologi hijau itu akan menjadi penyelesaian yang berkesan kepada masalah penyediaan air bersih dan keperluan asas masyarakat luar bandar.

Sementara itu Ir Joe Primus Kayau semasa sidang media berkata pelaksanaan pembinaan Air Graviti Bersih Berteknologi Hijau telah dimulakan pada bulan September lalu dan siap pada penghujung bulan November baru-baru ini.

“Kos keseluruhan pembinaan di bawah 500 ribu ini telah memberi menfaat air bersih berteknologi hijau kepada lebih empat puluh rumah masyarakat Kampung Sintuong-Tuong,” katanya.

Prof Madia Dr Gaim James Lunkapis daripada Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah berkata mereka berkolaborasi dengan ‘business partner’ Pembinaan Kiawayan Sdn Bhd khususnya untuk menyelesaikan bekalan air di luar bandar.

Menurutnya inovasi bekalan air graviti bersih itu berteknologi hijau atau tidak memerlukan bekalan elektrik, dan ia tidak menggunakan peralatan yang canggih bermakna boleh dikendalikan oleh orang kampung.

Teknologi tersebut terdiri daripada teknologi muka suap (intake) yang mana telahpun dipatenkan, seterusnya melalui 3 peringkat penapisan dan pengumpulan air dalam tangki simpanan sebelum disalurkan kepada penerima manfaat iaitu komuniti kampung.

Menurutnya lagi projek pertama di Kampung Rungus Nahaba yang berstatus penyelidikan telah dibiayai oleh MOSTI.

Jelasnya di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Malaysia terdapat 6 buah kampung telah diberi manfaat dan 3 lagi bakal siap tahun ini dan akan memberi khidmat kepada penduduk kampung.

Enam kampung tersebut ialah Kampung Koliposuan, Tamparuli; Kampung Bukit Mengidam, Telupid; Kampung Tukalilan dan Kampung Langsat, Tenom; Kampung Tudan, Kiulu; dan Kampung Sintuong-tuong, Tambunan.

Turut bersama Pegawai Daerah Tambunan, Sabitun Makajil; Pakar Sosio Ekonomi UMS, Prof Dr Gaim James Lunkapis; wakil Pengarah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Sabah, Rosman Bin Okasa; dan Setiausaha Perhubungan Awam Menteri Pembangunan Luar Dan Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim, Tuan Romeo Sindeh.

By David Ebin

Leave a comment