
PENGAMBILALIHAN PENGURUSAN SAIP BERTUJUAN MENTANSFORMASIKAN HALA TUJU SAIP KEPADA SEBUAH ENTITI YANG KOMERSIAL
1 Disember 2023
KOTA KINABALU: Pengalihan Pengurusan Sabah Agro-Industrial Precinct (SAIP) merupakan perancangan Kerajaan Negeri dalam mentransformasikan hala tuju SAIP kepada menjadi sebuah entiti yang komersial.

Majlis Menandatangani Perjanjian-Perjanjian di antara pihak SEDIA, IDS Sabah dan SEDCO, dan CAIQ Biosecurity Sdn Bhd telah berlangsung dengan jayanya di Kimanis Ballroom, Hyatt Regency, Kota Kinabalu hari ini.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat khususnya SEDIA, IDS dan SEDCO dalam usaha memastikan pengambilalihan Pengurusan SAIP dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Dalam ucapannya yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Panglima Dr Jeffry G. Kitingan, beliau menjelaskan bahawa usaha pengambilalihan Pengurusan SAIP adalah merupakan perancangan Kerajaan Negeri yang bertujuan mentransformasikan hala tuju SAIP untuk menjadi sebuah entiti yang komersial.
Dengan ini Kerajaan Negeri kini sudah memasuki fasa peralihan pengurusan kepada agensi yang dapat memainkan peranan untuk mengkomersialkan SAIP.
“Di samping itu, saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada SEDCO serta Pengurusan SEDCO kerana menerima sahutan Kerajaan Negeri untuk mengambil dan meletakkan SAIP di bawah SEDCO meskipun industri agro bukan salah satu sektor perniagaan utama SEDCO,” katanya.

Menurutnya SEDCO sudah berada di persada ekonomi negeri sejak tahun 1971 dan kini sudah memainkan peranan dalam sektor-sektor pembuatan, perkhidmatan, perdagangan dan pembangunan sosio ekonomi dalam masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera.
“Malahan SEDCO adalah perintis yang terlah mengevolusikan ekonomi daerah-daerah kecil dan terpencil dengan pembinaan rumah-rumah kedai serta lot-lot komersial mampu milik,” katanya
Peralihan SAIP ke bawah SEDCO menjadikan agrotani sebagai perniagaan portfolio baharunya yang tetap akan menjadi perniagaan yang mampan dan berdaya maju kerana SEDCO telah banyak membantu Kerajaan memacu ekonomi negeri ke tahap yang membanggakan.

“Dengan termeterainya perjanjian ini, maka SEDCO akan dapat bergerak ke hadapan dan memastikan SAIP ditransformasi menjadi sebuah entiti komersial yang mandiri dan mampan. Ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang komited untuk menjadikan SAIP sebagai salah satu lagi pemacu ekonomi di negeri ini,” katanya.
Selain itu Ketua Menteri berkata pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang memasuki tahun kedua dalam pelaksanaannya, pada tahun ini sudah mula membuahkan hasil.
“Ekonomi negeri telah mencatatkan pertumbuhan positif pada kadar 1.1 peratus pada tahun 2021 berbanding dengan penguncupan 9.2 peratus pada tahun 2020.
“Ini mencerminkan bahawa Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ telah berupaya untuk mendorong negeri Sabah meningkatkan momentum pertumbuhan positif pada kadar yang lebih baik,” katanya.

Tambahnya lagi dalam sektor Pertanian, pelan ini memberikan tumpuan kepada pelaksanaan Program Komoditi Tanaman pada tahun ini, dengan memberi tumpuan kepada penanaman buah-buahan, sayur-sayuran, tanaman singkat masa seperti jagung manis, halia dan keladi serta tanaman industri, khususnya kopi dan kelapa.
Menurutnya program tersebut bertujuan mengukuhkan jaminan bekalan makanan dengan aktiviti pertanian menggunakan teknologi terkini bagi mengeluarkan hasil tanaman yang tinggi dan berkualiti.

Fokus program yang dimaksudkan termasuklah meningkatkan pengeluaran hasil pertanian berkualiti dalam tempoh yang singkat dan tahan daripada serangan penyakit melalui program penyelidikan dan pembangunan (R&D) berinovasi tinggi.
Jelasnya melalui program itu, peniaga agrotani tempatan dapat menjadikan pertanian sebagai punca pendapatan tinggi dan secara tidak langsung Kerajaan telah dapat membantu mengeluarkan rakyat Sabah dari kepompong kemiskinan.

“Maka adalah diharapkan dengan menggalas tanggunjawab yang baharu dalam sektor agro, SEDCO dapat membantu menjadi pemangkin dalam meningkatkan bekalan makanan di sabah.
“Ini sejajar dengan usaha kerajaan negeri dalam Belanjawan negeri 2024, untuk terus meningkatkan hasil dan kualiti produk pertanian untuk memastikan tahap sara diri atau self-sufficiency level (SSL) semua bekalan bahan makanan terus meningkat,” katanya.
Menurutnya lagi dengan fasiliti di SAIP, SEDCO boleh memberikan tumpuan terhadap menghasilkan produk-produk farmaseutikal melalui R&D menggunakan tanaman herba tempatan serta penghasilan produk makanan kesihatan.
Jelasnya kedua-dua produk tersebut akan dapat membantu dalam meningkatkan skala bisnes para peniaga di Sabah bukan sahaja bagi pasaran tempatan, tetapi juga untuk pasaran antarabangsa.
“Saya mahu Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) yang memainkan peranan besar dalam menangani bekalan dan keselamatan makanan negeri Sabah, supaya dapat menjalinkan kerjasama yang jitu dan utuh dengan kementerian-kementerian dan agensi lain untuk menghebatkan lagi hasil dan kepelbagaian pemakanan melalui agrotani, “ katanya.
Hajiji akhiri dengan ucapan tahniah kepada SEDIA, IDS, SEDCO dan CAIQ, semoga usaha itu akan terus berjaya dalam memperkasa ekonomi dan kesejahteraan Sabah dan rakyatnya.
Copypaste